Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Hernie Suliana Haji Othman
BUDAPEST, HUNGARY, Selasa, 18 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan mengadakan Perjumpaan Tête-À-Tête bersama Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr. Tamás Sulyok di Sándor Palace, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama atas undangan Keberangkatan Negara ke Hungary serta sambutan mesra dan layanan sangat baik dan menyatakan dengan keyakinan bahawa lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara NBD dan Hungary.
Pada kesempatan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menzahirkan rasa penghargaan atas penganugerahan Bintang Kebesaran Hungary 'The Grand Cross of The Hungarian Order of Merit with Chain and Gold Star' dan seterusnya mengundang Tuan Yang Terutama Presiden Hungary untuk mengadakan Lawatan Negara ke NBD.